KONTENA berisi minuman keras di tapak kuari. FOTO Ihsan PGA.
KONTENA berisi minuman keras di tapak kuari. FOTO Ihsan PGA.
Fardy Bungga


SEMBUNYI kontena berisi minuman keras di kawasan kuari. Itu taktik sindiket penyeludupan minuman keras yang berjaya dipatahkan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu.

Rampasan bernilai RM1.19 juta itu hasil serbuan di tapak kuari dekat Kampung Pulutan, Manggatal pada 11.10 pagi, 28 November lalu.

Pegawai Pemerintah PGA Sabah Superintendan Gan Tong Ki berkata, pihaknya merampas empat kontena berisi minuman keras jenis tin dan botol yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.

“Pemeriksaan seterusnya terhadap semua kontena itu menemui 88,415 tin dan 7,104 botol minuman keras jenama Sea Pearl Beer (biru), Sea Pearl Beer (kuning) dan Guinness Stoutini tidak bercukai.

AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan pelbagai jenama rokok dan arak seludup yang dirampas. FOTO Ahmad Ismail
AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan pelbagai jenama rokok dan arak seludup yang dirampas. FOTO Ahmad Ismail

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,199,735 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Gan berkata, tiada tangkapan dilakukan dan semua rampasan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 9:38 AM