Syaherah Mustafa


LELAKI meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengharung banjir di hadapan rumahnya di Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang, hari ini.

Kejadian 12.45 tengah hari itu, ketika Mohd Zulkifli Yacob, 51, mahu mengambil buah nona yang terletak 10 meter dari rumahnya dan berpaut pada tiang elektrik.

Anaknya, Mohd Zunaidi, 27, berkata, ketika insiden itu, dia tidak berada di rumah dan hanya mengetahui kejadian menimpa bapanya apabila dihubungi saudara.

Dia bergegas pulang dengan turut mengharung banjir sedalam kira-kira satu meter.

“Luluh hati saya apabila sampai dan melihat jasad bapa terbaring di atas jalan, dikerumuni orang kampung.

“Mereka beritahu ayah sudah tidak bernyawa lagi dan menghubungi bomba serta polis untuk bantuan (bawa keluar mayat) kerana penempatan kami terkepung dalam banjir,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, arwah bapanya seorang yang peramah, namun dia mengesan Mohd Zulkifli lebih banyak berdiam diri dan termenung sejak beberapa hari lalu.

PASUKAN keselamatan mengusung mayat Mohd Zulkifli Yacob untuk dihantar ke Hospital Pasir Mas. FOTOSyaherah Mustafa.
PASUKAN keselamatan mengusung mayat Mohd Zulkifli Yacob untuk dihantar ke Hospital Pasir Mas. FOTOSyaherah Mustafa.

“Mungkin itu juga petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya yang berharap urusan pengebumian jenazah bapanya lancar memandangkan tanah perkuburan Islam terdekat ditenggelami banjir.

Disebabkan itu juga, jenazah arwah diusung sejauh satu kilometer dalam banjir oleh anggota polis dan bomba serta perlu menaiki jentera berat milik Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Jenazah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

“Jenazah bapa mungkin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Deh kerana tempat pengebumian terdekat sudah ditenggelami banjir.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba, polis dan anggota SMART kerana bertungkus lumus membantu membawa keluar jenazah bapa saya,” katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan agensi berkaitan berhubung kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 4:43 PM