DEWAN Undangan Negeri Terengganu. Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri Terengganu. Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


SERAMAI 5,547 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini masih berstatus miskin dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,036.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, jumlah itu adalah data yang dijana daripada sistem e-Kasih setakat ini.

Beliau berkata, ketika ini seramai 56,884 penduduk Terengganu tersenarai dalam e-Kasih sehingga 31 Oktober lalu, dengan Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 12,008 orang.

“Ia diikuti Besut dengan 9,844 yang masih tersenarai dalam e-Kasih, Marang (7,142); Kuala Nerus (7,081); Dungun (6,000);Kemaman (5,040); Setiu (4,925) dan Hulu Terengganu (4,844),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ab Razak Ibrahim (PAS-Air Putih) mengenai rakyat yang tersenarai dalam e-Kasih pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun, daripada 56,884 yang tersenarai dalam e-Kasih, hanya 5,547 masih dikategorikan miskin, manakala bakinya sudah keluar daripada paras kemiskinan.

Hanafiah berkata, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

“Kita ambil beberapa langkah untuk membantu golongan ini antaranya dengan skim bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain itu kita turut membantu mereka menerusi Program Perumahan Terengganuku Sejahtera, pemberian air bersih percuma 20 meter padu dan bantuan persekolahan,” katanya.

Hanafiah berkata, setakat ini juga sebanyak 10,005 akaun menerima manfaat pemberian air percuma 20 meter padu sejak ia dilancarkan kerajaan negeri akhir tahun lalu.

“Jumlah itu antaranya termasuk 5,575 akaun penduduk di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), 1,168 akaun peserta e-Kasih serta 2,015 akaun penduduk yang mendapat bantuan MAIDAM.

“Selain itu, mereka yang berpendapatan isi rumah bawah RM1,750 turut menerima manfaat ini membabitkan sebanyak 1,217 akaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 6:54 PM