Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar membayar nafkah kepada bekas isteri tertakluk kepada arahan mahkamah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat.

Beliau berkata, pembekuan akaun bank itu bukan sahaja terhad kepada penjawat awam, malah tindakan sama turut dikenakan kepada bekas suami yang berkerja sendiri dan mempunyai akaun simpanan.

"Kita ingin tegaskan, pembekuan akaun hanya akan membabitkan jumlah yang akan diputuskan oleh mahkamah syariah.

"Sebagai contoh, jika mahkamah syariah putuskan akaun hanya RM1,000 sebulan, maka jumlah itu hanya dibekukan untuk dibayar sebagai nafkah kepada bekas isteri," katanya kepada media pada Persidangan Dewan Undangan negeri (Dun), di sini, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata demikian bagi mengulas kekeliruan orang ramai mengenai akaun bank bekas suami akan dibekukan selepas ingkar arahan mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, kerajaan negeri menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan membekukan akaun bank lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri selepas berlaku perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 2:24 PM