MANISAH menunjukkan gambar Noor Adam Faiq. FOTO Syarafiq Abd Samad
MANISAH menunjukkan gambar Noor Adam Faiq. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nurul Hidayah Bahaudin


BUDAK lelaki autisme yang lemas selepas dipercayai tergelincir di Sungai Merab, di Serdang, semalam, dikatakan pandai berenang.

Mangsa, Noor Adam Faiq Noor Azam, 11, disedari hilang oleh keluarganya, jam 12 tengah hari selepas didapati tidak bermain bersama dua adiknya.

Nenek mangsa, Manisah Lokman, 65, berkata, menantunya, Noor Azam Johari, 42, ada mengajar cucunya itu berenang.

“Noor Adam memang suka bermain air dan bapanya ada mengajar dia berenang. Menurut anak, Siti Fatimah Abdul Rashid, 38, Noor Adam tidak pernah ke sungai berkenaan.

“Bapanya pernah membawa dia ke kandang kambing berhampiran, namun tidak pernah membawanya ke sungai itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, Serdang, hari ini.

Manisah berkata, dia dimaklumkan mengenai kehilangan cucu sulung daripada tiga beradik itu oleh anaknya kira-kira jam 1 tengah hari, semalam sebelum bergegas dari Tangkak, Johor ke lokasi kejadian.

“Noor Adam disedari hilang selepas bapanya mendapati dia tidak bermain bersama dua adiknya sebelum mencari di kawasan sekitar taman perumahan itu.

“Menantu kemudian memaklumkan menemui kasut dan seluar Noor Adam berhampiran sungai dan mengesyaki dia tergelincir,” katanya.

Katanya, cucunya itu seorang yang periang dan manja dengan keluarganya.

“Kehilangan Noor Adam amat dirasai seluruh keluarga memandangkan dia seorang yang periang dan manja.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, namun reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Noor Azam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak dan isterinya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, enggan ditemubual.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai tergelincir jam 10.15 pagi tadi.

Berita berkaitan

Mayat budak autisme sudah jumpa

Budak autisme dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 3:41 PM