FOTO HIASAN. FOTO EPA
FOTO HIASAN. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Pihak berkuasa tempatan di sebuah bandar di Jepun terpaksa menggunakan senjata mengandungi damak dibubuhi ubat penenang untuk menangkap kumpulan monyet liar yang sudah mencederakan 42 orang.

Monyet liar adalah mudah dilihat di mana-mana kawasan di negara itu, namun dianggap haiwan perosak kerana merosakkan hasil tanaman dan menceroboh rumah.

Namun, serangan membabitkan monyet liar seperti di Yamaguchi di barat negara itu adalah jarang berlaku.

"Bandar Yamaguchi dikelilingi oleh pergunungan dan tidak sukar untuk melihat monyet liar," kata pegawai jabatan pertanian pihak berkuasa tempatan.

Namun katanya, jarang untuk melihat banyak serangan dalam tempoh yang singkat.

Kecederaan itu setakat ini kebanyakannya adalah ringan, tetapi pihak berkuasa tempatan terpaksa menggunakan senjata mengandungi damak dibubuhi ubat penenang selepas usaha menangkap monyet itu dengan menggunakan perangkap, tidak berjaya.

Menurut pegawai sama, pada mulanya, hanya kanak-kanak dan golongan wanita diserang.

"Namun, kebelakangan ini, orang tua dan orang dewasa turut menjadi sasaran monyet berkenaan," katanya.

Pihak berkuasa masih tidak pasti sama ada serangan itu membabitkan hanya seekor monyet yang agresif atau membabitkan lebih banyak monyet.

Pegawai perbandaran sudah meronda kawasan terbabit kejadian sejak insiden pertama dilaporkan pada 8 Julai, namun sehingga kini tidak berjaya menangkap mana-mana haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 3:38 PM