Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 1.02 juta notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, daripada jumlah itu, 212,158 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan utama.

“Antara kesalahan utama dikesan sejak Januari lalu hingga semalam adalah melanggar lampu isyarat iaitu 98,934 notis; lebih had muatan (44,761); muatan berbahaya (22,254); tidak memakai tali pinggang keledar (15,039) dan tidak memakai topi keledar (8,581).

“Selain itu, 7,285 notis dikeluarkan bagi kesalahan memotong di garisan berkembar; (5,467) memotong di sebelah kiri; menggunakan lorong kecemasan (5,367) dan menggunakan telefon bimbit (4,470),” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, malam tadi.

SHAHARUDDIN (kiri) memeriksa motosikal yang disita. FOTO ASYRAF HAMZAH.
SHAHARUDDIN (kiri) memeriksa motosikal yang disita. FOTO ASYRAF HAMZAH.

Operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu membabitkan 127 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Shaharuddin berkata, sebanyak 2,450 kenderaan diperiksa dan 220 kenderaan diambil tindakan.

“Sebanyak 603 notis dikeluarkan dalam operasi ini membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

“Kami menyita 20 motosikal manakala enam lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun ditahan AADK selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 30.8 juta kenderaan berdaftar direkodkan pihaknya membabitkan 20.6 juta kenderaan aktif dan 10.2 juta kenderaan tidak aktif.

Menurutnya, pihaknya merekodkan 95,984 pendaftaran baharu kenderaan bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

Katanya, selain itu, JPJ merekodkan lebih 15 juta pemandu berdaftar selain 27,551 pemandu baru dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 1:23 AM
ANGGOTA JPJ dan polis trafik memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO ASYRAF HAMZAH
ANGGOTA JPJ dan polis trafik memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO ASYRAF HAMZAH