Laporan portal berita Harian Metro 18 Oktober lalu.
Laporan portal berita Harian Metro 18 Oktober lalu.
Abnor Hamizam Abd Manap


BAYI yang ditemui ditinggalkan bersama nota di belakang sebuah rumah di FELDA Palong 8, Jempol 17 Oktober lalu, bukan dibuang sebaliknya milik lelaki yang menemui bayi itu.

Perkara itu terbongkar selepas soal siasat polis terhadap lelaki berusia 24 tahun terbabit mendapati keterangan diberikannya bercanggah sebelum mengaku membuat laporan palsu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek sebelum itu membuat laporan mendakwa menemui bayi ditinggalkan di belakang rumahnya.

“Namun siasatan polis mendapati bayi yang dijumpai itu adalah miliknya hasil hubungan sulit dengan teman wanita.

“Berikutan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut. “Polis turut menahan teman wanitanya di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, pasangan itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, bayi terbabit masih ditempatkan di Hospital Jempol di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Harian Metro pada 18 Oktober lalu melaporkan, bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui bersama sekeping nota ditinggalkan atas meja di belakang sebuah rumah di FELDA Palong 8.

Bayi yang masih hidup itu ditemui 10.15 malam oleh penghuni rumah yang keluar untuk mengambil barang di dalam kereta.

Berita berkaitan

'Tolong jaga anak ini'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:05 PM