Kerajaan akan mengumumkan pengambilalihan empat lebuh raya apabila semua matlamat dicapai. FOTO Arkib NSTP
Kerajaan akan mengumumkan pengambilalihan empat lebuh raya apabila semua matlamat dicapai. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN tidak menetapkan jangka masa untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara itu hanya akan dibuat apabila semua matlamat pengambilalihan itu dicapai.

Katanya, syarat pertama ialah ia tidak akan mengenakan negara apa-apa beban hutang tambahan dan bayaran khidmat hutang.

“Kedua ialah penjimatan untuk kerajaan dengan tidak perlu membayar pampasan dan ketiga, penjimatan kepada rakyat melalui kadar tol yang dikurangkan,” katanya ditemui pada majlis makan tengah hari Anugerah Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) 2018/2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, kabinet meluluskan cadangan pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang - Lebuh Raya Shah Alam (Kesas); Lebuh Raya Damansara - Puchong (LDP); Lebuh Raya Sprint (Sprint) dan Terowong SMART (Smart).

Kerajaan akan membayar RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya itu.

Guan Eng berkata, keperluan adalah sama untuk pengambilalihan lebuh raya PLUS - bahawa matlamat perlu direalisasikan terlebih dulu.

Mengenai berita berhubung tawaran Goldman Sachs untuk membayar hanya sebahagian kecil daripada tuntutan awal Malaysia bagi peranannya dalam kemelut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Guan Eng berkata, kerajaan tidak menerima sebarang tawaran daripada bank pelaburan itu.

Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan tuntutan US$7.5 bilion.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya US$2 hingga US$3 bilion, kerana kami tidak menerima tawaran daripada Goldman Sachs.

“Sudah tentu Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas akan lebih tahu, tetapi setakat ini tiada tawaran kukuh.

“Setakat arahan oleh AG, ia masih US$7.5 bilion,” katanya.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa perunding Malaysia mempertimbangkan penyelesaian untuk sebahagian kecil daripada jumlah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 7:45 PM