Aliran trafik perlahan di Lebuhraya PLUS berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Ipoh pada petang hari ini. Foto Abdullah Yusof
Aliran trafik perlahan di Lebuhraya PLUS berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Ipoh pada petang hari ini. Foto Abdullah Yusof
Khairul Najib Asarulah Khan


ALIRAN trafik menuju Lembah Klang di beberapa lebuh raya perlahan petang hari ini berikutan orang ramai kembali dari destinasi masing-masing selepas cuti perayaan Deepavali.

Laporan terkini sehingga 5.30 petang di laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mengalami peningkatan jumlah trafik dari Temerloh ke Lanchang, manakala trafik di LPT2 kenderaan bergerak perlahan.

Trafik juga dilaporkan perlahan dari arah selatan di Hentian Sebelah Bikam ke Sungkai, Hentian Sebelah Gunung Tempurung ke Tapah, Ipoh Selatan ke Simpang Pulai, Sungai Perak ke Terowong Menora dan kedua-dua arah di Jelapang.

Keadaan trafik turut dilaporkan perlahan di Plaza Tol Gombak menuju Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ketika dihubungi berkata, kesesakan dijangka meningkat jika cuaca hujan.

“Sehingga kini, trafik perlahan dari Prai menuju Seberang Jaya, Bandar Cassia ke Bukit Tambun (Utara), Bandar Cassia ke Jawi serta Bandar Baharu ke Jawi.

“Selain itu, dari Seremban menuju Hentian Senawang arah selatan turut sesak dan Ayer Keroh ke Jasin, Tangkak ke Jasin dan Yong Peng (Utara) ke Pagoh,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www. twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 7:36 PM