FAHMI. FOTO arkib NSTP
FAHMI. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di media sosial awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kebocoran data berkenaan adalah serius kerana membabitkan jumlah maklumat yang banyak.

"Saya akan minta CSM, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data membabitkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu beliau mengongsikan satu hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Berdasarkan hantaran itu, pada 25 Disember 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa membabitkan nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 11:19 AM