KHALIL menunjukkan perbezaan hos gas yang disarankan (hitam) dan tidak berkualiti (biru lut sinar).
KHALIL menunjukkan perbezaan hos gas yang disarankan (hitam) dan tidak berkualiti (biru lut sinar).
Yusliza Yakimir Abd Talib

Memasak memang menyeronokkan terutama mereka yang berminat dengan aktiviti itu. Tambahan pula bulan puasa yang bakal menjelang tidak lama lagi, pasti ramai lebih gemar menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur dimasak sendiri berbanding membeli di luar.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan menambah pendapatan dengan menyediakan hidangan untuk dijual di bazar Ramadan.

Namun, keselamatan di dapur ketika di dapur perlu diberi perhatian terutamanya membabitkan gas memasak.

Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita mengabaikan dan mengambil mudah keselamatan penggunaan silinder gas memasak, walaupun tahu gas masak itu tidak ubah seperti bom jangka yang bila-bila masa saja boleh menyebabkan kebakaran yang berbahaya.

Pengurus Jualan Kawasan Wilayah LPG Petronas Khalil Fairy Baharim berkata, sifat asas gas LPG iaitu butane dan propane, tidak berbau, tidak berwarna serta lebih berat daripada udara dan ringan berbanding air.

Oleh itu katanya, sejenis bahan kimia khas yang bertindak balas secara positif dengan komponen LPG dimasukkan menyebabkan apabila berlaku kebocoran gas, ia mengeluarkan bau busuk agar senang dikesan jika berlaku kebocoran.

CONTOH bahagian dalaman silinder gas ditunjukkan kepada penonton.
CONTOH bahagian dalaman silinder gas ditunjukkan kepada penonton.

“Di rumah, kebanyakannya menggunakan hos gas plastik lut sinar yang mudah didapati namun ia tidak disyorkan kerana hos jenis itu akan mengeras dan patah jika digunakan agak lama.

“Malah ia akan mengembang dan longgar jika terdedah kepada keadaan panas, selain mudah terbakar bukan untuk diguna pakai bagi memasak menggunakan gas LPG.

“Sebaliknya disyorkan menggunakan hos getah yang mempunyai ketahanan tinggi yang biasanya diperbuat daripada getah lebih tebal dan berwarna hitam. Pastikan ia mempunyai tanda pengesahan SIRIM,” katanya pada sesi penerangan keselamatan silinder gas sempena Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball di Giant Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, alat atur (regulator) di pasaran terdapat pelbagai jenama tetapi disarankan supaya memastikan ia mempunyai pengesahan SIRIM dan tidak disyorkan menggunakan alat atur yang tiada pengesahan SIRIM.

Jelasnya, tidak perlu membeli alat atur yang mahal atau mempunyai meter, malah alat atur yang memiliki kawalan tekanan gas juga tidak diperlukan. Ini kerana agak berbahaya memaksa mengenakan tekanan yang tinggi pada silinder gas masak di rumah.

“Tempoh pemakaian hos adalah sehingga dua tahun saja, atau sekiranya sudah keras, tukar hos apabila perlu. Manakala bagi alat atur pula disarankan ditukar lima tahun sekali,” katanya.

ANTARA contoh kelengkapan gas memasak.
ANTARA contoh kelengkapan gas memasak.

Berikut adalah panduan keselamatan lain di dapur yang disyorkan Petronas.

1. Pastikan jarak antara silinder gas dengan alat memasak antara 1 ke 1.5 meter. Alat memasak perlu diletakkan lebih tinggi dari silinder.

2. Jangan simpan silinder gas di tempat tertutup dan tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.

3. Bau pelik atau busuk daripada silinder gas bermakna ada kebocoran. Tutup semua punca api dan jangan gunakan peralatan elektrik.

4. Guna air sabun untuk mengesan kebocoran gas. Jika terdapat buih, bermakna ada kebocoran berlaku. Buka alat atur gas dan alihkan silinder ke tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.

5. Nyalakan api sebelum menghidupkan alat memasak.

6. Sentiasa pastikan pengudaraan yang baik dan jangan tinggalkan ketika sedang memasak.

7. Tutup peralatan memasak dan buka injap alat atur gas jika tidak digunakan.

Apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan:

a. Pastikan tong gas memasak sentiasa dalam keadaan tegak dengan injapnya di atas. Jangan baringkan tong gas anda.

b. Buka pintu atau tingkap semasa memasak untuk pengaliran udara.

c. Jangan letakkan kuali panas atau benda panas yang lain di atas tong gas memasak.

d. Jauhkan kedudukan langsir daripada dapur memasak.

e. Jangan tinggalkan apa yang anda tengah masak tanpa pengawasan.

f. Jika anda ingin meninggalkan rumah untuk satu jangkamasa yang panjang, matikan kepala gas.

g. Pastikan kedudukan dapur memasak anda lebih tinggi dari tong gas.

h. Sebelum memasang kepala gas, pastikan ada gelung getah dalam injap tong gas.

Mengesan kebocoran gas

a. Jika anda terhidu bau gas itu bermakna terdapat kebocoran gas.

b. Sesetengah serangga sukakan bau gas dan mereka akan mengerumuni kawasan yang terdapat kebocoran gas.

c. Dalam sesetengah keadaan, anda juga akan dapat mendengar bunyi berdesir menandakan terdapat kebocoran gas.

d. Cara terbaik mengesan kebocoran gas pada saluran gas atau sambungan alat atur gas ialah dengan menggunakan air sabun dan perhatikan jika ada buih sabun pada tempat tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 3:12 PM