Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


INDIVIDU yang membuat kenyataan penghinaan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di media sosial kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 38 tahun itu dipercayai bekerja sebagai juruteknik di luar negara itu kini berada di New Zealand.

Menurutnya, semakan dengan pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL) mendapati dia dipercayai berada di negara terbabit.

“Malangnya kita tidak akan dapat bantuan dari negara itu kerana ia (menghina) tidak menjadi satu kesalahan di luar negara.

“Bagaimanapun, polis akan meletakkan lelaki terbabit di dalam senarai orang dikehendaki dan sekiranya dia pulang atau berada di negara yang ada kerjasama dengan kita, polis akan menahannya serta membawanya pulang,” katanya kepada media ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan tunggu arahan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter, Navin Pillai yang memuat naik kenyataan menyamakan pasukan keselamatan itu dengan anjing pada Isnin lalu.

Dia juga membalas ciapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelik dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, pemilik akaun Twitter terbabit turut memuat naik gambar Abdul Hamid dengan Dr Mahathir serta membuat keterangan gambar berunsur penghinaan.

Berita berkaitan

Tunggu ya...polis dah cari

Patutlah berani semacam...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:29 PM