DEWAN Undangan Negeri Sarawak. FOTO arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri Sarawak. FOTO arkib NSTP
Muhd Amirul Faiz Ahmad


PAS Sarawak berang dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, yang menyatakan doktrin parti itu tidak diterima di negeri ini.

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin, berkata, sepatutnya Mohamad Asfia selaku Speaker DUN Sarawak mengambil pendirian berkecuali daripada dibelenggu cengkaman politik kepartian.

“Speaker seolah menghina penyokong PAS di Sarawak di mana mereka terdiri daripada anak jati tempatan dan bukannya warga asing. Mengapa Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti DAP takut dengan pengaruh PAS di sini.

“Sokongan pengundi yang kuat terutama di DUN Beting Maro dan Sebuyau menunjukkan perjuangan PAS tidak sempit dan bersifat kenegerian seperti GPS,” katanya dalam kenyataan, di Kuching, hari ini.

Selain menjadi Speaker DUN Sarawak, Mohamad Asfia juga adalah Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di mana parti berkenaan menjadi tunjang kekuatan GPS di negeri ini.

Khamis lalu, Mohamad Asfia mengeluar kenyataan terbuka menyerang PAS selain mendakwa ideologi parti itu tidak akan diterima di negeri ini.

PAS walaupun lebih dua dekad bertapak di Sarawak, parti itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi DUN mahupun kawasan parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 12:35 PM