SEJUMLAH 46 peratus pencarum KWSP berusia di bawah 55 tahun memiliki kurang dari RM10,000 dalam simpanan.
SEJUMLAH 46 peratus pencarum KWSP berusia di bawah 55 tahun memiliki kurang dari RM10,000 dalam simpanan.
Mahanum Abdul Aziz dan Mohd Zaky Zainuddin

MAJORITI rakyat Malaysia tidak mampu bertahan lebih tiga bulan dari segi kewangan jika kehilangan sumber pendapatan utama, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

Beliau menegaskan, keadaan itu diburukkan lagi menjelang 2030 apabila Malaysia dijangka menjadi negara komuniti tua dengan rakyat berusia 60 tahun dan ke atas merangkumi 15 peratus daripada keseluruhan populasi.

Katanya, perkara sedemikian secara struktur menimbulkan cabaran ke atas landskap simpanan persaraan di Malaysia.

"Ketika ini, sekitar 40 peratus populasi negara dianggarkan tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial dan kebanyakan penduduk di bawah sistem persaraan formal dijangka berdepan kekurangan dana untuk persaraan," katanya ketika menyampaikan ucaptama acara InvestSmart Fest 2021 secara maya, semalam.

Mengulas lanjut, Syed Zaid berkata, kebimbangan terus memuncak berhubung keselamatan persaraan terutama data menunjukkan sekitar 46 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun memiliki kurang RM10,000 dalam simpanan.

Katanya, kesan Covid-19 juga menyaksikan penurunan ketara kepada 27 peratus berbanding 36 peratus dari aspek pencarum yang memenuhi nilai ambang simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun.

"Ia menunjukkan pentingnya perancangan kewangan terutama pengalaman yang diraih daripada pandemik.

"Walaupun kita semua memiliki keperluan dan komitmen berbeza, tidak pernah terlambat untuk mula merancang masa depan kewangan anda," katanya.

Beliau turut mengingatkan, pelabur yang mempersiapkan masa depan kewangan perlu mengetahui tanda bahaya yang mungkin timbul daripada mereka tidak bertanggungjawab yang berusaha memanfaatkan kelemahan orang lain.

"Dua isu utama menjadi tumpuan inisiatif perlindungan pelabur SC iaitu usaha berterusan menentang penipuan dan aspek yang berkaitan dengan pengendali pasaran serta penasihat pelaburan tidak sah," katanya.

Syed Zaid berkata, sehingga September lalu, SC menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan mengenai skim atau penipuan pelaburan dengan jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

"Sebagai tindak balas, kami sudah mengambil tindakan pantas untuk memerangi penipuan ini. Pada 30 September lalu, kami membuat 202 entri baharu dalam SC Investor Alert, berbanding 134 entri untuk sepanjang tahun lalu.

"Tahun ini sahaja, dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Facebook Malaysia, kami berjaya menyekat 97 laman web dan tujuh akaun Facebook," katanya.

Selain itu, katanya, SC mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua bursa pertukaran aset digital asing (DAX) tahun ini, menegur dan menyekat laman web mereka kerana beroperasi secara haram di Malaysia.

"Pada 30 September lalu, SC memasukkan 38 pengendali dalam Daftar Makluman Pelaburnya yang terdiri daripada entiti dan individu berkaitan untuk menjalankan perniagaan nasihat pelaburan tanpa lesen.

"Kami juga mengarahkan 29 pengendali ini untuk berhenti dan berhenti memberikan nasihat pelaburan tanpa izin.

"Kegiatan ini biasanya dilakukan oleh 'guru pelaburan' yang menawarkan perkhidmatan melalui kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan di Telegram, WhatsApp dan Facebook," katanya.

Sementara itu, InvestSmart Fest 2021 anjuran SC yang berlangsung selama tiga hari menyediakan program komprehensif untuk memenuhi pelbagai pelabur dan latar belakang dan tujuan pelaburan yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:02 AM