KEADAAN rumah seorang aktivis masyarakat di Kampung Permatang Binjai yang rosak teruk akibat dipukul ribut. FOTO Nur Izzati Mohamad
KEADAAN rumah seorang aktivis masyarakat di Kampung Permatang Binjai yang rosak teruk akibat dipukul ribut. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang aktivis masyarakat yang sentiasa membantu penduduk diuji selepas rumah yang didiaminya di Kampung Permatang Binjai, di sini rosak teruk akibat ribut, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Noor Hasni Saad, 57, sedang berniaga makanan di kedai miliknya di Teluk Air Tawar, sebelum dihubungi ahli keluarganya memaklumkan keseluruhan bumbung rumah diterbangkan ribut.

Menurutnya, dia bergegas pulang dan terkejut melihat keadaan rumahnya yang rosak teruk selain banyak barangan serta perkakas tidak dapat diselamatkan.

"Ketika di kedai memang saya nampak langit sangat gelap dan angin begitu kuat, tidak lama kemudian saya terima panggilan daripada seorang anak meminta pulang segera.

"Apabila sampai memang tak dapat nak buat apa, habis seluruh bumbung rumah tercabut dan banyak barang dalam rumah tak boleh nak diselamatkan.

"Ketika kejadian cuma ada seorang anak dan cucu saya dalam rumah itu. Mujur tidak berlaku apa-apa kepada mereka," katanya.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah berdepan kejadian ribut dan sering turun padang membantu mangsa yang lain.

"Banyak saya duduk pi (bantu) sebelum ini (bantu mangsa ribut), hari ini rumah sendiri dilanda ribut.

"Saya reda dengan ujian ini dan masa sama berharap pihak berwajib dapat bantu saya serta mangsa lain yang terbabit," katanya.

Difahamkan, banyak lokasi di daerah Seberang Perai Utara terjejas termasuk Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu Kepala Batas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, beberapa mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kerosakan rumah akibat ribut.

"Kita sedang mengumpul semua laporan polis ini dan akan dikongsikan kepada pihak media nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 12:01 AM