Muhammad Apendy Issahak


WANITA berusia 22 tahun membuat laporan polis susulan seorang lelaki bertindak menunjukkan kemaluannya di tempat parkir sebuah pasar raya di Bandar Baru Medan Ipoh hari ini.

Penolong pengurus restoran makanan segera itu mendakwa diganggu lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pekerja pasar raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, wanita terbabit membuat laporan polis pada 2 petang hari ini dan mendakwa kejadian berlaku petang semalam.

“Wanita itu mendakwa pada 6.15 petang semalam ketika dia masuk ke dalam kawasan parkir kereta sebuah pasar raya di Bandar Baru Medan Ipoh tiba-tiba datang lelaki lingkungan 40-an, memakai baju pasar raya itu dan berseluar hitam terus meluru arah keretanya dan terus menunjukkan kemaluannya.

“Mangsa tidak pedulikan lelaki itu dan terus masuk ke pasar raya itu tetapi ketika wanita itu keluar menuju ke keretanya kira-kira 7 malam sekali lagi dia nampak lelaki sama meluru ke arahnya dan membuat perbuatan yang sama,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Menurutnya, wanita itu tidak mengenali suspek dan kali pertama kejadian berlaku.

“Siasatan mendapati tiada saksi dan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tetapi mangsa sempat merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbitnya.

“Suspek tidak menyentuh mangsa dan hanya berada di luar kereta. Mangsa juga ada bertanya kepada pekerja pasar raya berkenaan yang memaklumkan suspek adalah seorang yang kurang siuman dan tidak bergaul dengan orang lain,” katanya.

A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah pekerja pasar raya terbabit sebagai mengutip troli.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan walaupun mangsa tidak mahu memanjangkan kes dan membuat laporan hanya untuk makluman polis serta perlindungan diri untuk kemudian hari.

“Polis akan mengesan suspek bagi siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 10:25 PM
Gambar daripada rakaman video dibuat mangsa terhadap seorang lelaki yang didakwa menunjukkan kemaluan kepadanya di kawasan parkir di sebuah pasar raya di Bandar Baru Medan Ipoh hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video dibuat mangsa terhadap seorang lelaki yang didakwa menunjukkan kemaluan kepadanya di kawasan parkir di sebuah pasar raya di Bandar Baru Medan Ipoh hari ini. Foto Ihsan Pembaca