KEADAAN anjung rumah yang ditimpa pokok getah. FOTO Ihsan Bomba Dan Penyelamat
KEADAAN anjung rumah yang ditimpa pokok getah. FOTO Ihsan Bomba Dan Penyelamat
Adnan Ibrahim

PANTANG maut sebelum ajal apabila tujuh beranak terselamat walaupun rumah didiami hampir ranap sepenuhnya ditimpa pokok getah.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, sebatang pokok getah tumbang menghempap rumah berkenaan di Kampung Paya di Jalan Kampung Tengah, Kluang.

Pemilik kediaman, Abd Aziz Kadar, 48, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri dan lima anak berehat selepas penat bekerja kampung seharian.

Menurutnya, sebatang pokok getah berusia 10 tahun yang terletak di hadapan rumahnya tumbang.

“Akibatnya keseluruhan bumbung di ruang tamu serta dua bilik tidur rosak teruk. Malah anjung rumah yang menempatkan kereta Proton Wira milikanak saya turut runtuh.

“Mujur saya dan anak-anak berusia sembilan hingga 24 tahun tidak cedera,” katanya.

Dia berkata, mereka tidak menyangka pokok getah itu akan tumbang mendadak.

“Pernah berlaku ribut sebelum ini namun pokok getah itu kukuh berdiri. Bagaimanapun dalam kejadian petang semalam, angin kuat berserta hujan selama 30 minit menyebabkan pokok itu tumbang.

“Kini rumah kami tidak lagi selamat diduduki berikutan beberapa kayu alang retak selain bekalan elektrik terputus akibat litar pintas,” katanya.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Kluang bergotong royong membersihkan pokok yang menghempap rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:45 AM