Gambar fail, sektor pembuatan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, sektor pembuatan. FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepatkan peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa industri berpotensi tinggi sudah dikenal pasti sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu seperti industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar.

Katanya, pada masa ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi fokus kepada usaha untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Kita juga perlu merancang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Dalam konteks ini, pelan pembangunan sosioekonomi negara lima tahun adalah penting bagi menetapkan hala tuju strategik yang jelas dan meletakkan ekonomi negara di atas asas yang lebih kukuh.

"Sehubungan ini, kerajaan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020.

"Matlamat utama WKB 2030 adalah supaya rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat mengecapi taraf hidup wajar atau decent standard of living menjelang tahun 2030," katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:39 AM