GAMBAR hiasan. FOTO Zaman Huri Isa
GAMBAR hiasan. FOTO Zaman Huri Isa
Hairulazim Mahmud


“PEGAWAI dan anggota penguatkuasa seperti polis, kastam dan imigresen akan menggunakan kamera badan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, penggunaan alat itu nanti bertujuan meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan ketelusan pihak berkuasa terbabit apabila berurusan dengan orang ramai.

Katanya, ia juga bertujuan supaya sebarang penyalahgunaan kuasa dapat dikenal pasti berasaskan rakaman kamera badan itu.

“Kita mahu tahu apa yang berlaku antara anggota terbabit dengan pihak yang mereka berurusan seperti cara melaksanakan tugas apabila ada insiden berbangkit,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali ke-10 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dr Mahathir berkata, semua pasukan pihak berkuasa terbabit akan dibekalkan alat kamera badan itu sebaik sahaja kerajaan mempunyai peruntukannya tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat bersetuju dengan syor

bagi memperkasakan kecekapan dan ketelusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antaranya dengan meningkatkan penggunaan teknologi dengan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan menambah mesin pengimbas berteknologi Artificial Intelligence (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).

“Negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini,” kata beliau.

Beliau berkata, bagi memantapkan pemeriksaan imigresen di pintu masuk negara, sistem pemantauan dengan pemasangan CCTV akan dipertingkatkan.

“Pemasangan CCTV di pintu masuk dan depot tahanan ini dapat membantu meningkatkan kecekapan Jabatan Imigresen Malaysia dan integriti pegawainya,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 4:04 PM