Sistem paparan maklumat penerbangan di KLIA, Sepang. Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Sistem paparan maklumat penerbangan di KLIA, Sepang. Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Nazri Abu Bakar


LAPORAN siasatan kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Sepang dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, laporan siasatan terbabit yang disiasat sebuah jawatankuasa ditubuhkan itu sudah berada di peringkat akhir.

Menurutnya, sebaik laporan berkenaan siap dan diperoleh, ia akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum dibentangkan di Kabinet.

“Keterangan dan siasatan daripada pelbagai pihak termasuk, pakar teknologi maklumat (IT), vendor, pengurusan tertinggi sudah diambil mengikut bidang siasatan kami dan jika terdapat isu pencerobohan ia adalah bidang kuasa dan siasatan pihak polis.

“TAMS kini sedang menyiapkan laporan akhir termasuk semua siasatan dan dijangka siap tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Gred KP19 dan AB19 Sesi I/2019 di Akademi JPJ Tiang Dua, Melaka hari ini.

Menurut Mohd Khairul Adib, ketika ini sistem di KLIA dan KLIA2 dilihat kembali stabil selepas beberapa faktor dikenal pasti namun ia tidak dapat diumumkan.

Katanya, masih terlalu awal untuk mengesahkan kejadian itu adalah serangan siber.

Jawatankuasa siasatan itu dipengerusikan Mohd Khairul Adib sendiri dan turut membabitkan agensi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Pada 21 Ogos lalu, kegagalan sistem TAMS itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Berita berkaitan

12 orang beri keterangan isu KLIA

Polis akan siasat vendor KLIA, klia2

Sedia siasat gangguan sistem di KLIA

Kegagalan sistem di KLIA berniat jahat?

Selidik kenapa KLIA 'breakdown'-Tun M

KLIA sudah pulih! [METROTV]

KLIA terus alami gangguan sistem

Siasat sebab TAMS kacau

Apa sudah jadi KLIA?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:45 PM