KUMPULAN terakhir jemaah haji yang tiba hari ini. FOTO Ihsan TH
KUMPULAN terakhir jemaah haji yang tiba hari ini. FOTO Ihsan TH
JEMAAH haji disambut petugas TH. FOTO Ihsan TH.
JEMAAH haji disambut petugas TH. FOTO Ihsan TH.
Yusmizal Dolah Aling


KUMPULAN terakhir jemaah haji Malaysia seramai 475 orang, selamat tiba di tanah air, hari ini.

Ketibaan mereka menerusi penerbangan Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.10 pagi.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini berkata, ketibaan kumpulan terakhir itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah menandakan berakhirnya Operasi Haji TH Musim 1440H/2019.

Pada musim haji ini, seramai 24 jemaah meninggal dunia membabitkan 15 jemaah lelaki dan sembilan wanita.

TH sudah menyelesaikan pelaksanaan badal haji bagi mereka yang meninggal dunia sebelum wuquf dan turut menziarahi waris jemaah berkenaan untuk memberikan sumbangan serta sokongan moral.

SEORANG jemaah haji disambut ahli keluarga selepas tiba hari ini. FOTO Ihsan TH
SEORANG jemaah haji disambut ahli keluarga selepas tiba hari ini. FOTO Ihsan TH

Sehingga kini, masih ada tiga jemaah haji negara dirawat iaitu seorang di Hospital King Abdullah di Jeddah manakala dua lagi di Hospital Al Ahmadi, Madinah.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, rata-rata jemaah juga dapat menyelesaikan ibadat haji mereka dengan sempurna dan TH mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.

“Kita juga berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi terbabit antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan beberapa pihak lain.

“TH sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji

Malaysia setiap tahun. Satu sesi kajian semula akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 12:04 PM