JEMAAH haji Malaysia tiba di terminal khas Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah hanya mengambil masa kurang satu jam untuk meninggalkan terminal.
JEMAAH haji Malaysia tiba di terminal khas Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah hanya mengambil masa kurang satu jam untuk meninggalkan terminal.
Tuan Asri Tuan Hussein


KEJAYAAN progam ‘fast track’ atau pelepasan segera di terminal kemasukan jemaah haji Malaysia di Madinah yang diperkenalkan tahun ini, tidak bermakna Tabung Haji (TH) sudah berpuas hati dan menganggap segala-galanya kini sempurna.

Hasil ‘post morterm” dilakukan setakat ini, TH percaya proses kemasukan jemaah haji Malaysia boleh dipercepatkan lagi sehingga 30 minit atau kurang daripada itu.

Pengurus Terminal Madinah Mohd Razali Zakaria berkata, tempoh 30 minit atau kurang itu adalah sesuatu yang realistik dan mampu dilaksanakan hasil perancangan rapi dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, setakat ini tempoh paling cepat bagi proses bermula daripada jemaah keluar daripada pesawat hingga menaiki bas untuk ke hotel ialah 45 minit.

PENGHANTARAN bagasi lebih pantas kerana diuruskan oleh ejen tempatan dan dibawa dengan lori terus ke hotel penginapan jemaah haji.
PENGHANTARAN bagasi lebih pantas kerana diuruskan oleh ejen tempatan dan dibawa dengan lori terus ke hotel penginapan jemaah haji.

“Kita merancang untuk mengurangkan tempoh masa itu dengan melaksanakan beberapa inisiatif (mengikut keadaan). Sebagai contoh, pada awalnya kita rancang menggerakkan jemaah mengikut nombor bas.

“Tapi, berdasarkan keadaan kita terus tukar strategi dengan mengarahkan jemaah menaiki mana-mana bas. Apabila bas sudah penuh, ia segera meninggalkan terminal.

“Dengan pendekatan seperti ini, saya percaya kita dapat meningkatkan lagi prestasi kita untuk melancarkan lagi pergerakan jemaah dari terminal,” katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di Madinah.

Sejak ketibaan penerbangan pertama pagi Sabtu lalu sehingga pagi ini, sudah 10 penerbangan membawa jemaah haji Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, membabitkan hampir 5,000 jemaah.

Malaysia adalah negara pertama yang diberi keistimewaan oleh Arab Saudi untuk melaksanakan perkhidmatan pelepasan segera itu di mana urusan imigresen kedua-dua negara dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain Malaysia, keistimewaan sama turut diberikan kepada jemaah haji dari Indonesia, namun kemasukan jemaah dari negara jiran itu hanya akan bermula pada Sabtu ini.

Razali berkata, ketibaan jemaah dari Indonesia kelak, mungkin akan memanjangkan sedikit proses pelepasan jemaah haji dari Malaysia, namun pihaknya dan pihak berkuasa Arab Saudi sudah bersedia dan mengambil langkah perlu untuk menghadapinya.

“Pihak berkuasa di Madinah sudah memberi jaminan akan bantu jika berlaku kesesakan di terminal untuk percepatkan proses jemaah haji kita keluar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya tidak akan berlaku perubahan yang ketara dan tempoh kurang daripada satu jam untuk pelepasan jemaah haji Malaysia dari terminal masih boleh dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:56 AM