KUANTAN: Polis menahan lima remaja lelaki berhubung kes samun bersenjatakan parang di dua kedai serbaneka 24 jam di sini pagi semalam .

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata tiga daripada mereka yang kesemuanya berumur 18 tahun ditahan dalam serbuan di rumah di Air Putih di sini semalam hasil maklumat awam.

Katanya hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Beserah pada 3.45 pagi dan sebuah lagi kedai serbaneka di Sungai Isap pada 5.45 pagi bersama dua lagi rakan mereka.

"Susulan itu polis menyerbu sebuah rumah di Galing dekat sini pada 2.30 petang semalam sebelum memberkas seorang pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis rokok yang dipercayai dicuri di premis tersebut dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian samun itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, setengah jam kemudian seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan pelajar tingkatan lima ditangkap di kawasan sama bersama sebilah parang dan sebuah topi keledar hitam yang dipercayai digunakan kumpulan remaja terbabit.

"Polis turut menemui pelbagai jenis rokok dan gula-gula di rumahnya dan dengan tertangkapnya lima remaja terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan kes samun di dua buah kedai serbaneka 24 jam ini," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 3:34 PM