Hairulazim Mahmud


“JANGAN sampai anak muda ketagih dalam ‘dadah digital’ atau ‘digital drug’,” tegas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun permainan dalam talian (e-sukan) sudah menjadi trend terkini dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion namun ia perlu dikawal dan dipantau.

Beliau berkata, penggunaan Internet yang ekstrem boleh mengakibatkan pengguna menjadi ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan juga mental.

“Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China sudah mengenal pasti ketagihan dalam dadah digital.

“Di Korea Selatan, mereka sudah mempunyai klinik atau pusat rehabilitasi dadah digital manakala China mempunyai statistik bagi Penagih Dadah Digital,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Penutup Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan Peluncuran Buku Panduan AWASpada Keselamatan Siber di Gombak, hari ini.

Turut hadir Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Emeritus Tam Sri Dzulkifli Abdul Razak; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abd Latif Abu Seman; dan Ketua Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati purata tempoh melayari Internet adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengakses Internet melalui telefon pintar.

“Golongan belia pula memperuntukkan secara purata lapan jam sehari berada di dalam talian,” kata beliau.

Kata beliau lagi, Kajian ‘Programme for International Student Assesment’ (PISA), UNICEF mendapati penggunaan Internet yang ekstrem iaitu lebih enam jam sehari mengakibatkan kepuasan dan kesejahteraan hidup menjadi rendah berbanding penggunaan Internet sederhana iaitu selama satu hingga dua jam sehari.

“Situasi ini akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya penggunaan Internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau oleh ibu bapa atau penjaga,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 3:54 PM