Kerja-kerja pemasangan maklumat penularan kes demam denggi di Jalan Station Renggam, Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Kerja-kerja pemasangan maklumat penularan kes demam denggi di Jalan Station Renggam, Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


PEJABAT Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) perlu lebih agresif mengekang penularan demam denggi di Johor yang meningkat kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, bagaimanapun tanggungjawab itu tidak hanya terletak dibahu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana perlu turut digalas semua pihak termasuk masyarakat.

Katanya, rakyat harus peka terhadap kebersihan persekitaran kediaman masing-masing terutama membabitkan bahan terbuang yang menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Walaupun kita sedang memerangi wabak Covid-19 dengan menjalani kehidupan normal baharu, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat membersihkan kawasan rumah masing-masing dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Vidyananthan berkata demikian ketika mengulas penyebaran wabak demam denggi yang berlaku di Jalan Station, Renggam dan Jalan Usaha di Taman Sri Lambak Kluang.

Menurut Vidyananthan, hari ini dilaporkan dua kawasan penempatan di Jalan Station, Renggam dan Jalan Usaha di Taman Sri Lambak, Kluang dikategorikan kawasan penularan wabak demam denggi.

"Tidak mustahil banyak lagi kawasan penempatan turut akan menjadi kawasan penularan wabak denggi seandainya tiada usaha untuk membendungnya dan ia harus dilakukan secara bersendirian di kawasan kediaman masing-masing.

"Bagaimanapun, mereka tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:29 PM