GAMBAR Arkib NSTP.
GAMBAR Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor


“KLIA pintu masuk negara, tempat strategik. Jadi mana-mana pihak termasuk operator lapangan terbang, jangan buat andaian,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau memberi peringatan itu kepada supaya tiada pihak mengeluarkan kenyataan bersifat spekulasi dan andaian berkenaan gangguan rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Sebaliknya, katanya, semua pihak harus memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa dan menunggu hasil siasatan itu sebelum tindakan susulan diambil.

Menurutnya, kerajaan juga tidak mahu mana-mana pihak membuat kesimpulan awal ketika siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan termasuk kemungkinan wujud elemen jenayah.

“Kita tak mahu buat spekulasi dan tidak boleh membuat andaian sebab ini membabitkan pintu masuk negara, ia tempat strategik dan apa yang berlaku perlu disiasat secara terperinci.

“Jadi operator lapangan terbang atau mana-mana pihak, jangan buat andaian, (sebaliknya) lapor kepada pihak berkuasa. Jika ada elemen jenayah dalam kejadian itu, ia di bawah siasatan polis,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Loke berkata, Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan siasatan termasuk memanggil saksi bagi memberi keterangan.

Katanya, TAMS juga menyediakan laporan berserta punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang.

“Mereka bekerja sepanjang masa, setiap hari ada meeting (mesyuarat), ada siasatan. Laporan penuh insiden ini akan dibentang di Kabinet apabila siap kelak,” katanya yang memberitahu polis menyiasat secara berasingan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilapor meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyiasat punca sebenar gangguan sistem di KLIA bermula 21 Ogos kerana ia tidak harus berlaku, disebabkan sistem sama digunakan lapangan terbang lain yang tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lalu pula tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat dan laporan polis dibuat pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 4:39 PM