LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Arkib NSTP.
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


MASIH terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Ini kerana katanya, Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) yang ditubuhkan masih menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan mengenai perkara itu kerana jawatankuasa sudah ditubuhkan dan (jawatankuasa) diberi kuasa untuk memanggil semua pihak terbabit untuk beri keterangan.

“Mereka juga mempunyai kuasa untuk akses semua tempat di dalam KLIA bagi melihat apa yang berlaku. Siasatan akan dilakukan dari semua sudut dan lebih terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan di Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) di Wisma Tenaga Nasional Berhad di Seremban, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan perbuatan yang berniat jahat.

Bagaimanapun, Raja Azmi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh dan laporan polis turut dibuat, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai permohonan pampasan oleh syarikat penerbangan terhadap MAHB susulan insiden itu, Anthony enggan mengulas lanjut.

“Hal itu membabitkan syarikat penerbangan dengan operator lapangan terbang,” katanya.

Mengenai 476 jemaah haji Malaysia terkandas di Jeddah sejak Sabtu lalu disebabkan penjadualan semula waktu penerbangan, Anthony memberitahu sudah meminta syarikat penerbangan bekerjasama dengan operator lapangan terbang untuk menangani isu itu.

“Ia mesti diselesaikan jika ada jemaah yang terkandas. Penumpang perlu diberi perhatian oleh syarikat penerbangan dan mengutamakan keselesaan mereka,” katanya.

Kegagalan sistem di KLIA dikesan pada 21 Ogos lalu hingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama empat hari, sebelum sistem distabilkan pada 24 Ogos.

Berita berkaitan

MAHB buat laporan polis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 3:13 PM