MAYAT dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MAYAT dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


MAYAT pelajar tahfiz, Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, yang hilang ketika mandi di Sungai Kedah di Kampung Chegar Anak Bukit, Alor Setar, ditemui pagi ini.

Mayat ditemui jam 9.57 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi disertai anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

Beliau berkata, mangsa ditemui kira-kira 20 meter di dasar sungai berkenaan dan tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

"Mayat ditemui dalam tempoh 22 jam selepas dilaporkan terjatuh 2.40 petang semalam.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan operasi tamat 10.30 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian mangsa hari ini.

Turut serta dalam operasi itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Dalam pada itu, Mohammadul Ehsan berkata, anggotanya menghadapi kesukaran untuk mencari mangsa berikutan keadaan struktur bawah sungai yang berlekuk dan berbatu.

Operasi disertai 12 anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Dan Jitra.

Harian Metro semalam melaporkan, pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit.

Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, dipercayai tenggelam dan rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

Berita berkaitan

Pelajar tahfiz dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 12:14 PM