LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Arkib NSTP.
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Arkib NSTP.
BERNAMA

PENGENDALI lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyelidik punca sebenar gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gangguan sistem di lapangan terbang tidak seharusnya berlaku.

“Kita kena selidik kenapa (kita) mengalami ‘breakdown’… sepatutnya ia tidak berlaku kerana sistem yang sama turut digunakan di lapangan terbang yang lain dan mereka tidak mengalami masalah seperti kita,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, hari ini.

Dr Mahathir berkata, gangguan sistem di lapangan terbang semakin pulih namun operasi masih ‘tidak licin’.

TUN Dr Mahathir ketika memandu uji kereta VinFast, buatan Vietnam model SUV LUX SA (A) 2.0 di Hoa Lac Hi-Tech Park, Hanoi hari ini. FOTO BERNAMA.
TUN Dr Mahathir ketika memandu uji kereta VinFast, buatan Vietnam model SUV LUX SA (A) 2.0 di Hoa Lac Hi-Tech Park, Hanoi hari ini. FOTO BERNAMA.

Sejak 21 Ogos lalu, KLIA mengalami gangguan sistem dan menyebabkan penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk selain berlakunya pembatalan serta kelewatan penerbangan.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Semalam, MAHB membuat laporan polis berhubung gangguan sistem di KLIA dan polis berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan berkata, MAHB tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat.

Sebelum itu pada Jumaat, MAHB dilaporkan berkata, kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan pengendali lapangan terbang itu mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:18 PM