ABDUL Hadi Awang
ABDUL Hadi Awang
Hanneeyzah Bariah Baharin


KERAJAAN dan polis perlu bertegas dalam menangani isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab kerana membabitkan simbol kebanggaan negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang kesal dengan kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di seluruh negara dan mengecam tindakan biadap pihak tidak bertanggungjawab itu.

Beliau berkata, mereka yang anti kemerdekaan dan tidak menghormati simbol kebanggaan negara boleh dianggap sebagai saki baki penjajah dan bekas komunis.

“Rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama perlu menghormati Jalur Gemilang. Anak muda perlu menghayati kemerdekaan negara.

“Jadi mereka yang anti merdeka ini adalah saki baki penjajah dan bekas komunis yang dendam terhadap tentera yang menyerang komunis.

“Kita hargai tentera menentang komunis dan pejuang kemerdekaan dalam semua kalangan termasuk Cina dan India yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Rusila, Marang, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang memasang Jalur Gemilang terbalik di seluruh negara dan tular di laman sosial, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang rakyat.

Hadi berkata, Jalur Gemilang tidak sepatutnya menjadi bahan mainan tetapi harus dipertahan dan dibanggakan oleh semua lapisan rakyat.

Sementara itu mengenai isu Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), Hadi berkata, kerajaan perlu memberi syarat ketat dan pemantauan terhadap operasi kilang nadir bumi itu, supaya tidak berlalu pencemaran tanah, sungai dan laut.

Beliau berkata, isu Lynas juga perlu dibahaskan secara saintifik dengan maklumat tepat daripada pakar dan bukan ditangani secara politik dengan mendengar cakap ahli politik yang tiada kepakaran mengenai perkara itu.

“Sebenarnya saya sudah mendapat maklumat awal daripada pakar mengenai Lynas ini. Sebab itu saya katakan ia perlu ditangani secara saintifik dan bukan politik.

“Tetapi banyak pihak nak tangani isu Lynas ini secara politik. Dengan sebab itu kita kena dengar pandangan pakar dan saintis, bukan dengar cakap ahli politik yang nak tunjuk pandai.

“Ahli politik bidang kewangan tidak boleh cakap mengenai Lynas. Kalau dia cakap mengenai ekonomi Lynas boleh lah. Jadi kita perlu dengar hujah saintifik dan kita harap kerajaan juga mendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:49 PM