ROGAYAH tekun memasang bendera yang menghias kediamannya di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru.
ROGAYAH tekun memasang bendera yang menghias kediamannya di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru.
Omar Ahmad

Johor Bahru: Usianya mencecah 77 tahun namun semangat menyambut Hari Kebangsaan tidak pernah luntur buat pesara, Rogayah Abu Hassan.

Saban tahun, ibu tunggal itu yang mesra disapa Mak Gayah akan menghias rumah teres dua tingkat miliknya
di Jalan 4/22, Taman Desa Harmoni, dekat sini, dengan lebih 300 Jalur Gemilang pelbagai saiz.

Baginya, kehidupan zaman komunis ketika era 1940-an mengajar dirinya erti bersyukur atas nikmat kemerdekaan negara.

“Mak cik memang seronok setiap tahun sambut Hari Kebangsaan, masuk saja Ogos, mak cik akan beritahu anak supaya membeli bendera,” katanya.

Menurutnya, minat terhadap sambutan Hari Kebangsaan turut mendapat sokongan empat anaknya, malah sebahagian duit diberikan mereka digunakan untuk membeli bendera.

“Bendera yang mak cik pasang akan dibiarkan selama setahun dan tidak akan diturunkan sehingga muncul bulan kemerdekaan pada tahun seterusnya, mak cik akan turunkan dan gantikan dengan bendera baru.

“Semua bendera ini mak cik pasang sendiri, ada yang mak cik guna tangga atau kerusi sekiranya hendak gantung di tempat tinggi.

“Pernah juga terjatuh tetapi tidak mengapa asalkan hati mak cik puas dan seronok lihat bendera ini berkibar,” katanya.

Mak Gayah pernah memenangi tempat ketiga Pertandingan Kibar Jalur Gemilang peringkat kawasan rukun tetangga bagi kategori rumah kediaman pada 2014.

Mengulas generasi baharu hari ini, katanya, mereka tidak tahu erti kepayahan orang dulu demi mendapatkan kebebasan negara daripada penjajah terutama komunis.

“Sewaktu zaman komunis dulu mak cik berumur sekitar 15 tahun. Masa itu mak cik sekeluarga duduk di Kangkar Tebrau.

“Ketika itu untuk beli makanan kena pakai kupon biru. Makanan kami dicatu, seminggu kalau anak empat dapatlah beli empat kati beras dengan empat kampit mi Siam.

“Cukup ke tak cukup pandai-pandai lah. Kadang kalau sudah tak cukup beras, mi Siam itu mak saya rebus buat macam putu mayam, buat masak lemak bagi anak makan. Bapa cakap makanan dicatu sebab takut kami bagi makan kepada komunis,” katanya.

Mak Gayah berharap suasana aman Malaysia merdeka ini dapat dikekalkan dan diwarisi sampai bila-bila dan pada masa sama semua pihak termasuk generasi muda perlu berfikir dulu sebelum membuat tindakan yang boleh memecah belah keamanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:12 AM