FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nazarali Saeril


“KAMI sungguh kesal dan memohon maaf atas kejadian itu. Sebagai warga Malaysia, kami amat menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara kita,” kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, K Ravindran, dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) sebagai melahirkan rasa kesal terhadap insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di premis sebuah daripada pengedar rasmi kenderaan Toyota.

Menurut Ravindran, pihaknya maklum dengan perkara terbabit selepas ia dikongsi di media sosial oleh netizen yang prihatin.

“UMWT memandang serius kejadian terbabit dan ia tidak berniat sama sekali untuk menghina Jalur Gemilang mahupun Malaysia.

“Ia kesilapan yang tidak disengajakan. Pengedar kami sudah memperbetulkan kesilapan itu dengan menurunkan Jalur Gemilang terbabit dengan segera dan memohon maaf kepada netizen,” katanya.

Menurut Ravindran, UMWT berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan netizen yang prihatin yang mengesan kesilapan terbabit seterusnya memaklumkannya kepada syarikat.

Ravindran berkata, tindakan sewajarnya juga sudah diambil terhadap pengedar rasmi terbabit agar kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:37 PM