NORA Anne Quoirin.
NORA Anne Quoirin.
Raja Noraina Raja Rahim


MESKIPUN keputusan bedah siasat Nora Anne Quoirin, 15, sudah menjelaskan punca kematiannya, namun masih banyak persoalan yang bermain di fikiran keluarga remaja itu.

Keluarga Nora Anne berkata, mereka masih cuba untuk memahami apa yang berlaku terhadap remaja itu sepanjang tempoh kehilangannya sebelum ditemui mati di hutan berdekatan resort penginapan mereka di Pantai di Seremban pada 13 Ogos lalu.

“Anak kami mati dalam keadaan yang amat sukar dan kami (keluarga) berharap akan ada jawapan kepada banyak persoalan.

“Kami masih berusaha untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku (kepada Nora Anne) dalam tempoh 10 hari itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan di Facebook Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Dalam kenyataan itu, keluarga Nora Anne turut memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjumpa dengan mereka bagi melahirkan rasa simpati atas kehilangan itu.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, polis, pasukan mencari dan menyelamat (SAR), penduduk setempat dan sukarelawan yang membantu mencari Nora Anne.

“Kami akan membawa pulang Nora di mana dia akan disemadikan berhampiran keluarga tersayang di Perancis dan Ireland,” katanya.

Sementara itu, Lucie Blackman Trust memaklumkan pihak berkuasa Perancis akan terus menjalankan siasatan kerana ia adalah prosedur biasa jika membabitkan rakyat Perancis di luar negara.

Walaupun siasatan masih dijalankan, pihaknya menggesa orang ramai terus memberikan maklumat menerusi talian hotline yang masih dibuka.

“Keluarga masih mengharapkan apa saja maklumat bagi membantu memberikan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku dalam tempoh 10 hari itu.

“Lucie Blackman Trust akan terus menyokong keluarga selagi mereka memerlukan sokongan termasuk menghantar pulang serta sokongan lain yang diperlukan,” katanya.

Pihaknya turut mengesahkan tiada sebarang ganjaran diberikan atas penemuan mayat Nora Anne itu.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 8:07 PM