NORA Anne Quoirin.
NORA Anne Quoirin.
Hasbi Sidek


AHLI keluarga remaja warga Ireland yang hilang di sebuah resort di Pantai, di Seremban, menyifatkan anak istimewa itu sebagai seorang yang menyeronokkan, lucu dan sangat penyayang.

Keluarga itu menerusi Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga Nora Anne Quoirin berkata, remaja berusia 15 tahun itu tidak seperti remaja lain dan tidak akan ke mana-mana bersendirian.

Katanya, Nora Anne menghidap ‘Holoprosencephaly’ sejak lahir iaitu mengalami masalah mempunyai saiz otak yang lebih kecil berbanding individu lain.

“Sepanjang hayatnya, Nora Anne banyak meluangkan masa di hospital. Ketika lahir, dia memerlukan pembedahan untuk membantunya bernafas.

“Beberapa pakar kesihatan memantau tumbesarannya, kebolehan fizikal, kekuatan terutama keupayaan mentalnya.

“Nora memerlukan pemantauan pakar pendidikan yang khusus dan kini ditempatkan di sekolah untuk kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah berkomunikasi serta pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kenyataan itu turut menyebut, Nora Anne turut berbangga kerana dapat bertutur dalam Bahasa Perancis dan Inggeris, namun, kebolehannya untuk berkomunikasi secara lisan adalah terhad.

“Nora Anne membaca seperti kanak-kanak, tetapi dia boleh menulis dengan banyak. Dia mempunyai daya ingatan yang baik tetapi tidak memahami apa- apa secara konseptual.

“Dia tidak memahami matematik dan tidak pandai menggunakan wang, selain membuat atau menjawab panggilan telefon,” katanya.

Katanya, Nora Anne mampu mandi dan memakai pakaiannya sendiri, namun menghadapi kesukaran untuk memasang butang dan membasuh rambutnya.

“Di sekolah, dia sedang belajar menunggang basikal. Nora Anne suka berjalan bersama keluarganya, bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mengimbangkan badan.

“Sebelum ini, dia pernah ke Asia serta Eropah dan tidak pernah terpisah dengan keluarga atau tersesat. Dia sangat sensitif, malah sangat pemalu dan akan resah terhadap orang luar.

“Setiap malam dia akan meluangkan masa bersama ibunya sebelum tidur,” katanya sambil menambah Nora sangat teruja untuk bercuti di Malaysia bersama keluarganya.

Remaja berkenaan dilaporkan hilang sejak pagi Ahad lalu dipercayai keluar sendiri melalui tingkap tempat penginapan dia dan keluarganya di sebuah resort di Pantai.

Keluarga berkenaan sedang bercuti di negara ini dan tiba sejak Sabtu lalu. Pencarian Nora Anne masuk hari ketujuh.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 9:09 AM