SEORANG daripada pekerja China yang patah kaki dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Polis.
SEORANG daripada pekerja China yang patah kaki dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA pekerja China cedera selepas struktur besi cerucuk di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Connaught, Cheras tumbang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian berlaku pada 3 petang menyebabkan dua mangsa patah tangan dan kaki serta mangsa ketiga cedera.

“Mangsa pertama patah tangan kiri, mangsa kedua patah kaki kanan dan mangsa ketiga cedera ringan.

“Pihak bomba digerakkan ke lokasi bagi membantu menurunkan mangsa dan ketiga-tiganya dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, butiran mangsa masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 3.38 petang.

“Seramai 24 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Cheras, Hang Tuah dan BBP Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati ada besi cerucuk terjatuh ketika kerja pembinaan dilakukan, mengakibatkan tiga pekerja binaan cedera dengan seorang daripadanya tersepit.

“Anggota bertugas kemudian bertindak mengalihkan besi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kaki,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa berjaya dikeluarkan pada 4.21 petang sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

Keterangan gambar:

1. ANGGOTA bomba membawa keluar pekerja kontrak yang cedera selepas struktur besi cerucuk di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) diTaman Connaught berhampiran sebuah kolej swasta, Kuala Lumpur, tumbang, hari ini.

2. MANGSA yang cedera dalam kejadian itu.

From: No’Rule

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:44 PM