Antara barangan yang ditemui dalam kereta suspek.
Antara barangan yang ditemui dalam kereta suspek.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan selepas cuba melanggar beberapa anggota polis dalam cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan ketika dilihat mencurigakan di pusat beli-belah di Taman Sentosa, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang , lelaki berusia 34 tahun itu mengundurkan keretanya secara laju sebelum hampir terlanggar beberapa anggota yang mengepung kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, satu das tembakan kemudian dilepaskan anggota polis ke arah tayar kereta itu bagi menghalang lelaki terbabit melarikan diri.

"Suspek kemudian berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dan hasil semakan dia mempunyai 13 rekod jenayah lampau dalam kes pecah rumah, samun, dadah, menghalang tugas penjawat awam serta dikehendaki polis mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bersabit kes di Mantin, Negeri Sembilan.

"Kereta dipandu suspek juga menggunakan nombor pendaftaran palsu dan hasil semakan mendapati ia adalah kereta curi di Taman Pelangi di sini, minggu lalu," katanya.

Beliau percaya dengan tangkapan itu, polis dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 11:51 AM