FUZIAH (tiga dari kiri) bertanya khabar jemaah haji ketika membuat lawatan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Al-Janadriyah di Makkah, semalam. FOTO Yusri Abdul Malek.
FUZIAH (tiga dari kiri) bertanya khabar jemaah haji ketika membuat lawatan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Al-Janadriyah di Makkah, semalam. FOTO Yusri Abdul Malek.
Yusri Abdul Malek


KERAJAAN Malaysia akan memohon jasa baik kerajaan Arab Saudi bagi menambah ruang khemah di Mina bagi keselesaan jemaah bermalam selama tiga hari ketika masyair.

Ini kerana ruang khemah sedia ada iaitu tiga meter x tiga meter untuk menempatkan 20 jemaah adalah sempit hinggakan jemaah tidak boleh berbaring secara melentang, sebaliknya perlu tidur mengiring.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, setakat ini, penambahan ruang untuk keselesaan jemaah di Mina adalah perkara boleh dibaiki menerusi rundingan dengan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, ruang untuk seseorang jemaah di dalam khemah disediakan adalah 0.7 meter x 1.3 meter dan ia tidak cukup untuk seseorang jemaah untuk berbaring dengan selesa.

“Di Mina ini, kawasan sedia ada sudah digazetkan, mana-mana negara tidak boleh membuat sempadan masing-masing.

“Jadi kita perlu berunding dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan ruang tambahan,” katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj-Janadriyah, semalam.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sementara itu, kerajaan akan memberi cadangan kepada TH untuk mempertimbangkan agar warga emas diberi peluang menunaikan haji tanpa perlu menunggu lama.

Fuziah berkata, kerajaan simpati kepada warga emas yang terpaksa menunggu lama untuk menunaikan haji.

“Saya serahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah TH untuk membincangkan cadangan kerajaan itu.

“Jika boleh, kerajaan akan berunding dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapat kuota tambahan dan ia perlu diketahui lebih awal bagi memudahkan TH membuat perancangan terutama dari segi ruang di Mina,” katanya.

Selain itu, Fuziah turut memuji petugas haji di Tanah Suci yang begitu komited untuk membantu jemaah mengerjakan haji.

Beliau berkata, setiap jemaah dijaga kebajikan, kesihatan dan pergerakan mereka.

“Semua petugas memahami peranan masing-masing dalam menjaga jemaah dan program disediakan TH memang membantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:01 PM