Kanak-kanak Taska Permata Gerik yang memakai kostum harimau membuat persembahan pada sambutan Hari Harimau Sedunia di Taman Inai Gerik. FOTO Abdullah Yusof
Kanak-kanak Taska Permata Gerik yang memakai kostum harimau membuat persembahan pada sambutan Hari Harimau Sedunia di Taman Inai Gerik. FOTO Abdullah Yusof
BERNAMA

PERBADANAN Taman Negeri Perak (PTNPk) menganggarkan hanya terdapat 23 ekor Harimau Malaya mendiami Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di Gerik.

Pengurus Besarnya Mohamed Shah Redza Hussein berkata, bilangan itu berkurangan 60 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu lebih 60 ekor yang pernah direkodkan tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, ancaman utama yang menyebabkan populasi harimau itu berkurangan adalah berpunca daripada pemburuan haram dipercayai dilakukan rakyat negara luar khususnya dari Vietnam, Laos dan Kemboja.

“Kalau kita tak ambil tindakan dari sekarang, sudah pasti dalam masa dua atau tiga tahun, kita akan ada kurang 10 ekor. Populasi ini tidak mencukupi untuk membuat pembiakan harimau.

“Jika perkara ini terjadi bermakna dalam masa enam atau tujuh tahun akan datang kita akan hilang atau pupus Harimau Malaya terutama di Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Harimau Sedunia di Dataran Inai, Gerik hari ini.

Mohamed berkata, beliau turut mengakui kegiatan tidak bermoral itu turut berlaku secara terancang disebabkan didalangi warga tempatan.

“Pemburu haram luar ini mendapat bantuan daripada orang tempatan.

“Mereka (orang tempatan) ini sediakan perkhidmatan logistik dan makanan disebabkan pemburu ini terpaksa duduk lama dalam hutan untuk melakukan pemburuan,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani pemburuan haram, pihaknya bersama Jabatan Perhilitan Negeri Perak giat melakukan langkah pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh di hutan berkenaan.

Katanya, ia termasuk menambah anggota rondaan daripada 16 orang tahun lalu kepada 32 orang tahun ini dan menambah lagi jumlah itu kepada sekurang-kurangnya 50 orang selepas ini.

“Kita juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertingkatkan keupayaan teknikal termasuk penyediaan peralatan canggih serta latihan khusus kepada kakitangan demi memastikan Perak bebas daripada pemburu haram,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Harimau Sedunia, beliau berkata, ia program penting dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai Harimau Malaya sebagai salah satu khazanah negara.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah; Raja Kecil Besar Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Puteri Sultan Perak Raja Nazira Safya selain kehadiran selebriti tempatan Maya Karin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 7:13 PM