FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Berisiko pupus dalam tempoh lima tahun. Itu nasib yang bakal menimpa Harimau Malaya jika tindakan proaktif tidak diambil untuk menyelamatkan haiwan ikonik itu.

Dengan pemburuan haram menjadi ancaman utama, tindakan proaktif untuk memelihara jumlah harimau di negara ini perlu dilakukan segera atau tidak, ia bakal menerima nasib sama seperti badak Sumatera.

Presiden Rimau.NGO Lara Ariffin berkata, daripada jumlah 3,000 ekor pada 1950-an, kini hanya tinggal 150 ekor kumpulan terakhir Harimau Malaya di negara ini yang berdepan kepupusan.

Justeru katanya, pihaknya memberikan fokus untuk memastikan kelangsungan haiwan itu demi generasi akan datang.

"Harimau adalah spesies kunci utama. Dengan menyelamatkan harimau, kita dapat melindungi keseluruhan ekosistem hutan.

"Untuk itu kami bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak menubuhkan Pasukan Patrol Menraq di Royal Belum dan Amanjaya," katanya.

Menurutnya, pasukan ini terdiri daripada 40 orang Asli dari suku Jahai yang tinggal di hutan berkenaan sejak beberapa dekad lalu.

"Antara cabaran dihadapi adalah berdepan dengan pemburu haram yang lengkap bersenjata dan ia amat berbahaya.

"Apa yang kita boleh lakukan ialah, bila kita nampak aktiviti pemburuan haram, kita akan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Lara berkata, kulit, taring, gigi dan tulang Harimau Malaya mendapat permintaan yang tinggi daripada beberapa negara seperti Vietnam dan China menyebabkan ia diburu banyak pihak.

"Ini menjadikan risiko untuk pupus semakin tinggi. Kita jangkakan, jika sesuatu tidak dilakukan, Harimau Malaya ini akan tinggal sejarah selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 2:56 PM