Penjaga premis antara lima lelaki yang ditahan dalam serbuan polis semalam. FOTO Ihsan PDRM
Penjaga premis antara lima lelaki yang ditahan dalam serbuan polis semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah pusat snuker yang dijadikan pusat kegiatan judi dalam talian di Taman Kobena, Cheras semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi terbabit selepas menerima maklumat daripada orang awam 3 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti judi dalam talian yang menggunakan telefon bimbit di premis berkenan.

“Ketika serbuan penjaga premis berusia 69 tahun bersama dua pemain masing-masing berusia 43 dan 54 tahun ditahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit, peralatan snuker, dua modem Internet serta wang tunai RM79 dalam serbuan itu.

“Penjaga yang ditahan itu juga berdepan tindakan saman kerana menjalankan perniagaan pusat snuker tanpa lesen sah selain dipercayai menjadi ejen bagi kegiatan judi dalam talian.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

“Semua suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1982, Seksyen 7(2) akta sama dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1982,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya turut menahan dua lelaki yang juga pemain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit di depan sebuah pusat snuker di Taman Tenaga, Cheras 8 malam tadi.

“Kedua-dua lelaki terbabit yang masing-masing berusia 29 dan 32 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin.

“Kami turut merampas dua telefon bimbit dan satu resit transaksi bank dalam serbuan itu.

“Kedua-dua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1982 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:54 PM