ANTARA senjata dan pelbagai barangan dirampas daripada lima suspek kes samun dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan polis.
ANTARA senjata dan pelbagai barangan dirampas daripada lima suspek kes samun dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA lelaki yang terbabit dalam kegiatan samun dan ragut ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, penahanan suspek berusia 24 hingga 31 tahun susulan laporan dibuat wanita berusia 31 tahun yang menjadi mangsa samun mereka pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu Grab berada di luar keretanya berhampiran Pusat Komuniti Komersial, Bandar Tun Razak, sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan cuba meragut beg silangnya, namun gagal.

“Mangsa kemudian terus masuk ke dalam kereta sebelum suspek memecahkan cermin dan mengacukan pisau serta meminta wanita itu menyerahkan beg silangnya.

“Mangsa yang ketakutan menyerahkan beg itu dan suspek melarikan diri menyebabkan mangsa kehilangan dokumen peribadi, dua telefon bimbit serta wang tunai RM200 sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohamed Mokhsein berkata, susulan laporan itu, pegawai dan anggota Balai Polis Sungai Besi menyerbu sebuah rumah pada 2.30 petang semalam dan menahan tiga lelaki yang sedang mencuci motosikal.

Beliau berkata, semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di kawasan Salak Selatan Baru.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menahan dua lagi lelaki dan merampas enam telefon bimbit, beg silang, dua parang, beg tangan, power bank, kad ATM dan wang tunai RM1,500.

“Turut dirampas, dadah jenis methamphetamine seberat 0.4 gram,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati semua suspek terbabit positif dadah amphetamin dan methamphetamine.

Menurutnya, suspek pertama memiliki rekod lampau orang dikehendaki berkaitan dadah manakala suspek ketiga memiliki 10 rekod samun, curi motosikal dan dadah.

“Sementara suspek keempat memiliki lapan rekod lampau curi motosikal dan dadah manakala seorang lagi memiliki enam rekod jenayah lampau samun serta dadah.

“Semua suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 (A) KK, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:08 PM