Pencarian tiga pekerja resort yang masih belum ditemui diperluaskan. FOTO Rosli Ilham
Pencarian tiga pekerja resort yang masih belum ditemui diperluaskan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

PASUKAN mencari dan menyelamat memperluaskan lagi radius pencarian bagi mengesan tiga pekerja resort yang sehingga hari ini masih belum ditemui.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, operasi yang masuk hari kedua merangkumi kawasan pencarian sehingga ke perairan Kemaman dan Marang.

Menurutnya, operasi pencarian membabitkan 66 anggota terdiri daripada APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM, Jabatan Perikanan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Polis Marin.

“Enam aset (APMM) digerakkan dalam pencarian itu, selain itu kita turut dibantu tiga bot resort, sebuah bot Jabatan Perikanan, dua bot polis dan empat bot nelayan.

“Selain operasi pencarian di tengah laut, operasi juga ditumpukan di sekitar Pulau Pulau kecil seperti Pulau Nyireh, Pulau Tokong Burung dan Pulau Tokong Daik,” katanya.

Rashidilhadi berkata, keadaan cuaca yang berjerebu serta ombak dan arus kuat turut mengganggu operasi pencarian.

“Biarpun masih belum mendatangkan hasil, pasukan operasi akan terus dipertingkatkan sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Perikanan Laut Dalam Pantai Timur (PELAUD), Datuk Seri Mohd Zakaria Nawang berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua bot nelayan di sekitar kawasan terbabit supaya membantu pihak berkuasa mengesan mangsa semalam.

“Selain itu, kita turut meminta kerjasama pengusaha dari Kelantan dan Pahang bagi tujuan sama.

“Kita minta mereka yang menemui mangsa atau bot mangsa termasuk barangan yang terapung segera menghubungi pihak berkuasa.

“Setakat ini, laporan yang kami terima tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, bot pelancong dinaiki dua pemandu bot termasuk seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai pada 12 tengah hari.

Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort terbabit.

Kehilangan ketiga-tiganya menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun 4 petang hari sama.

Berita berkaitan

'Rahsiakan daripada ibu'

'Doakan anak saya selamat'

Jangan sebar maklumat palsu boh!

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 3:07 PM