BAS terbabit. FOTO Ihsan Bomba
BAS terbabit. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TINDAKAN pantas lelaki melompat keluar dari bas dipandunya menyelamatkannya daripada kenderaan itu yang tiba-tiba terbakar di Jalan Simpang Empat-Kerdau, Temerloh, semalam.

Dalam kejadian 7.18 malam itu, mangsa Saad Rejab, 55, dikatakan menyedari bau hangit yang datang dari enjin bas sebelum melihat kepulan asap.

Difahamkan mangsa, memberhentikan bas terlebih dahulu sebelum melompat keluar sebaik melihat api mula membakar kenderaan dipandunya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Syed Moshen T Ismail berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dan BBP Bukit Angin bersama satu jentera tiba ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

“Sebaik tiba, bas sudah 70 peratus terbakar. Kita mengambil masa kira-kira 30 minit memadamkan api terbabit dan operasi berakhir jam 8.07 malam.

“Ketika kejadian tiada penumpang dan pemandu bas tidak mengalami kecederaan. Bas dianggarkan terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:51 PM