Bomba memadamkan kereta yang terbabas sebelum terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Bomba memadamkan kereta yang terbabas sebelum terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Fardy Bungga


JURUJUAL nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 15.5 Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun yang memandu seorang diri itu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Perodua Myvi miliknya terbalik di tepi jalan berkenaan sebelum mangsa keluar sendiri untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari Penampang menuju ke Jalan UA1.

Katanya, kenderaan mangsa dipercayai terbakar disyaki berpunca pintasan api dari kabel sambungan bateri kereta.

“Hasil siasatan, pemandu tidak disyaki mabuk manakala keadaan cuaca cerah dan jalan juga baik.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN.166/59.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kenderaan itu masih terbakar dan operasi pemadaman dilakukan bagi mengawal api kebakaran.

“Api berjaya dipadamkan dan operasi tamat 7.18 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 7:03 PM