KEADAAN bas  ekspres yang merempuh belakang lori di Kilometer 97, Lebuhraya Pantai Timur 1. FOTO Ihsan Bonba
KEADAAN bas ekspres yang merempuh belakang lori di Kilometer 97, Lebuhraya Pantai Timur 1. FOTO Ihsan Bonba
Nazirul Roselan


SEMBILAN penumpang bas ekspres cedera apabila kenderaan itu merempuh bahagian belakang lori di Kilometer 97, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lanchang, dekat Temerloh, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian 1.15 pagi itu turut mengakibatkan pemandu bas dan pemandu lori serta kelindannya cedera.

“Jumlah keseluruhan penumpang bas ekspres berkenaan ialah 25 orang dan sembilan daripadanya yang cedera dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan.

“Berdasarkan siasatan awal, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dikatakan gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di lokasi kejadian dan melanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan minyak pelincir itu,” katanya ketika dihubungi di Temerloh, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan itu dan ujian air kencing terhadap kedua-dua pemandu itu akan diambil selain membawa kedua-dua kenderaan terbabit ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Temerloh untuk pemeriksaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:57 AM