Penduduk Felda Laka Selatan menikmati buah-buahan tempatan ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak malam ini. FOTO Shahrizal Md Noor
Penduduk Felda Laka Selatan menikmati buah-buahan tempatan ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak malam ini. FOTO Shahrizal Md Noor
Noorazura Abdul Rahman


LEBIH 200 penduduk Felda Laka Selatan, Bukit Kayu Hitam menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak menerusi tayangan skrin gergasi sambil menikmati pulut hijau kuning yang dimakan bersama durian.

Hidangan itu dimakan ketika waktu rehat selepas separuh masa pertama perlawanan itu 9.45 malam ini.

Pengerusi Kami Anak Felda, Felda Laka Selatan, Rodhi Md Rejab, 42, berkata, inisiatif itu dirancang sejak dua minggu lalu dengan penganjuran bersama pejabat Felda berkenaan.

“Skrin gergasi besar ini disediakan pejabat Felda, oleh kerana sekarang adalah musim buah, jadi kami merancang masak pulut yang dimakan bersama durian.

“Namun pulut ini kami warnakan dengan hijau kuning sebagai lambang pasukan Kedah sendiri, saya bersama penduduk bergotong-royong masak 20 kilogram (kg) pulut sejak 5 petang tadi dan siap 8.30 malam ini,” katanya.

Rodhi berkata, selain pulut, mereka turut menyediakan ‘serawa durian’ serta beberapa jenis buah-buahan lain termasuk rambutan, manggis dan dokong.

Katanya, semua buah-buahan itu dibawa penduduk yang rata-rata mempunyai dusun buah.

Sementara itu, Pengerusi Belia Felda berkenaan, Farozi Ramli, 32, berkata, warna pulut hijau kuning yang dimakan bersama durian dan santan menyemarakkan lagi semangat anak muda untuk berkumpul dan menyaksikan perlawanan akhir di perkarangan pejabat Felda malam ini.

“Memang seronok apabila melihat pulut hijau kuning yang dihidangkan di atas meja.

“Walaupun rasa berdebar melihat aksi perlawanan akhir malam ini tapi kami juga rasa semangat mahu menikmati pulut hijau kuning buat pertama kali dalam hidup saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:20 PM