NAZRIN Ridhwan bersama Yahaya Abdullah meraikan anak-anak yatim dengan menjamu buah durian sempena program kongsi durian bersama anak yatim dan asnaf di Helms Retreat, Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad
NAZRIN Ridhwan bersama Yahaya Abdullah meraikan anak-anak yatim dengan menjamu buah durian sempena program kongsi durian bersama anak yatim dan asnaf di Helms Retreat, Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad
Rosyahaida Abdullah


TEMPOH lebih dua jam berada di kawasan ala dusun seluas dua hektar milik Helms Events di Helms Retreat, Dusun Tua, Hulu Langat di sini dimanfaatkan lapan anak yatim merasai suasana kampung sambil mengutip buah-buahan untuk terus dijamah di situ.

Mereka yang juga penghuni rumah kebajikan Teratak Che Dah dari Rawang, dekat sini, diberi peluang mengutip sendiri beberapa buah-buahan segar dari pokok seperti durian dan manggis untuk dimakan bersama rakan lain.

Perasaan teruja dikongsi Shaik Muhammad Iskandar Shaik Azlan, 9, yang kali pertama dibawa menyertai program tahunan anjuran Helms Events itu ditemani abangnya, Shaik Muhammad Umar, 11.

Menurut Shaik Muhammad Iskandar, kebiasaannya dia dan rakan lain di rumah kebajikan yang dihuni menghabiskan masa lapang dengan aktiviti seperti bermain bola atau menonton televisyen.

Disebabkan itu, anak kedua daripada empat beradik ini mengakui sangat gembira apabila dibawa ke kawasan terbabit yang bukan saja membolehkan mereka melakukan aktiviti di luar kebiasaan malah memperoleh ilmu baru berkaitan buah-buahan yang ada.

"Kami tiba di sini jam 9.30 (pagi) tadi dan diberi kebebasan dengan pemantauan untuk kutip durian yang dijumpai di mana-mana tempat dalam kawasan ini.

"Kawasan ini sejuk, ada sungai di belakang sana. Walaupun tiada aktiviti lain selain kutip dan makan durian tetapi saya tidak kisah kerana ini sudah cukup menyeronokkan berbanding terperap di rumah," katanya.

Abangnya, Shaik Muhammad Umar berkata, memandangkan dia pernah dibawa ke kawasan itu dua tahun lalu, dia sudah dapat mengagak aktiviti kutip buah yang umpama acara wajib di situ.

"Sebelum ini, saya tidak berpeluang mengutip buah seperti hari ini mungkin kerana buah tidak banyak pada waktu itu tetapi ada aktiviti lain diatur untuk kami seperti memanah, lawan pedang dan sebagainya.

"Saya dan adik saya berjaya kutip lima durian pada hari ini dan kami diberitahu, ia boleh dibawa pulang kerana orang di sini (penganjur) sediakan durian lain yang mereka kutip tadi untuk dimakan di sini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Jamu Durian Bersama Anak Yatim Anjuran Helms Events, Nazrin Ridhwan Mohamad Helmi berkata, program itu mula dilaksanakan beberapa tahun lalu selepas mendapati kepelbagaian buah terhasil dengan baik di kawasan dusun terbabit.

Menyasar anak yatim dan murid tahfiz untuk memberikan pengalaman berbeza buat mereka, Nazrin Ridhwan yang juga Pengarah Helms Events berkata, itu juga sebahagian tanggungjawab sosial syarikat penganjur acara itu dalam memberikan semula kepada golongan kurang bernasib baik.

"Sebelum kawasan ini dijadikan lokasi penganjuran acara seperti perkahwinan dan sebagainya, kami terlebih dulu sudah menanam dan memiliki lebih 120 pokok buah-buahan termasuk 85 pokok durian.

"Semua buah ini kami tidak jual sebaliknya disalurkan kepada golongan sasar menerusi aktiviti seumpama ini setiap kali tiba musim buah dan kami jangka satu lagi kumpulan anak yatim akan dibawa ke sini untuk aktiviti sama apabila rambutan masak dalam masa kira-kira dua minggu lagi," katanya.

Jelas Nazrin Ridhwan, meskipun golongan yang disasarkan untuk program amal itu terdiri daripada anak yatim dan murid tahfiz, majoritinya tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja menyebabkan kehidupan mereka terdorong ke arah pemodenan.

"Ada antara anak-anak yang dibawa ke sini tidak pernah tengok pokok durian dan tidak dapat membezakan pulasan dan rambutan.

"Selain durian, manggis, rambutan dan pulasan, kawasan ini juga mempunyai pokok dokong, cempedak, petai dan kerdas. Saya kira ini juga satu peluang untuk mereka (anak yatim dan murid tahfiz) mengenali lebih dekat jenis buah yang ada selain menerapkan nilai cintakan kehijauan dan alami kepada mereka," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:14 PM