KERATAN laporan sebelum ini.
KERATAN laporan sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes suami isteri mati disyaki dibunuh sebelum rumah mereka dibakar di Taman Desa Melati, Nilai, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, semua suspek berusia 30 hingga 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, ketika hadir memberi keterangan.

“Polis melakukan serbuan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Nilai sebelum berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita antara petang semalam hingga pagi ini.

“Perintah tahanan reman diperoleh dari Mahkamah Majistret Seremban dan mereka dibenar direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, bedah siasat ke atas mayat suami isteri itu sudah dijalankan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), hari ini bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro hari ini melaporkan, polis menemui kesan tikaman dan kelar pada bahagian badan dan tangan suami isteri yang ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar.

Mayat Tan Kim Joo, 73, ditemui di bahagian dapur rumah dengan kesan kelar di tangan kiri dan lengan selain luka di dahi, manakala isterinya Ng Chong Hwa, 67, ditemui di dalam bilik dengan kesan tikaman di dada serta kelar di lengan kiri.

Berita berkaitan

Kelar, tikam, bakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 2:52 PM