SYED Saddiq Rahman berswafoto bersama peserta yang menyertai Fit Malaysia. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
SYED Saddiq Rahman berswafoto bersama peserta yang menyertai Fit Malaysia. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan untuk bertanding bagi meraikan budaya demokrasi dalam pemilihan parti yang akan diadakan nanti.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau akan bertanding untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya itu dan tidak kisah sekiranya ada individu lain yang mahu bersaing dengannya.

Beliau berkata, ia adalah bagi menyahut saranan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ahli dalam parti mengamalkan budaya berdemokrasi.

“Dalam parti kita tidak boleh tutup pintu pertandingan kepada sesiapa sahaja mahu bertanding.

“Oleh itu, saya akan bertanding dan sama-sama meraikan budaya demokrasi seperti yang disarankan Tun M,” katanya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diajukan pertanyaan samaada beliau akan bertanding pada pemilihan BERSATU selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia Zon Utara diKompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bukit Mertajam, hari ini.

Jelasnya, fokus utama ARMADA adalah menjadi teras dan tulang belakang kepada BERSATU dan mahu memastikan budaya sihat dalam parti akan terus berkembang.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir dilaporkan berkata terdapat kemungkinan bahawa pemilihan jawatan dalam parti BERSATU yang akan diadakan buat kali pertama akan berlangsung tahun ini.

Katanya, BERSATU belum menetapkan tarikh pemilihan itu, bagaimanapun pihaknya berharap dapat melaksanakannya tahun ini juga.

Pada 27 Jun lalu, Dr Mahathir mahu pemilihan parti itu diadakan secepat mungkin memandangkan kepimpinan yang ada sekarang terdiri daripada mereka yang dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 1:55 PM